Sinopharm, J&J masuk senarai PICK

PUTRAJAYA 16 Julai – Dua lagi vaksin Covid-19, Sinopharm dan Johnson & Johnson (J&J) diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan bencana, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Kelulusan itu diberikan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan ini menjadikan jenis pelalian keenam dan ketujuh dimasukkan dalam portfolio Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Sinopharm dibangunkan oleh China National Biotec Group Company Limited (CNBG) manakala vaksin J&J yang membabitkan suntikan satu dos pula dibangunkan oleh Janssen Pharmaceutica N.V. dari Belgium.

Dalam kenyataannya, Dr. Noor Hisham berkata, kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin berkenaan dipantau serta dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi produk-produk vaksin berkenaan kekal positif.

Kementerian Kesihatan (KKM) akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak Covid-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang dinilai daripada aspek tertentu.

“Ia merangkumi kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan PBKD,” katanya.

Pelaksanaan PICK sejak 24 Februari lalu, menyaksikan Malaysia memberi kelulusan bersyarat bagi penggunaan ketika bencana, membabitkan tiga jenis vaksin, iaitu Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca.

Mesyuarat PBKD ke-359 pada 15 Jun lalu, pula memperuntukkan kelulusan sama kepada CanSino dan J&J, masing-masing jenis satu dos suntikan lengkap.

Vaksin J&J yang mendapat ‘lampu hijau’ pada 15 Jun lalu diperoleh Kerajaan Malaysia melalui pelan peruntukan vaksin Covid-19 global, COVAX dan berdasarkan kelulusan penggunaan kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Secara perbandingan, vaksin J&J atau Janssen yang diluluskan hari ini ialah menerusi perolehan dari pengilang di Belgium.

Related posts

Leave a Comment