Menteri kecewa kes kluster KTV

SINGAPURA 16 Julai – Peningkatan kes Covid-19 di Singapura yang melibatkan kluster KTV turut mengecewakan pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian Lawrence Wong.

Dalam catatan di laman Facebooknya semalam,  beliau yang juga Menteri Kewangan tahu ramai yang berasa kecewa terhadap kes baharu berkenaan.

Kes seumpama menurut beliau menunjukkan bagaimana dalam menghadapi sesuatu krisis, tanggungjawab seseorang itu amat penting kerana sebarang keputusan akan turut melibatkan orang lain.

“Tidak ada yang boleh hidup sendirian. Pilihan yang kita buat untuk diri sendiri adalah juga pilihan untuk masyarakat kita,” katanya.

Semalam Singapura melaporkan 42 kes tempatan baharu Covid-19 di mana 34 berkait dengan kluster  KTV menjadikan jumlah jangkitan yang ada hubung kait dengan kelompok KTV kini sebanyak 88 kes.

Menurut Wong, pasukan bertindak berusaha sepanjang masa bagi menangani kes-kes terbaru, untuk membendungnya dan memastikan masyarakat Singapura selamat.

Beliau juga menggesa sesiapa sahaja yang mengunjungi “KTV yang sudah bertukar menjadi F&B” itu dapat melakukan tindakan yang betul  dengan menjalani ujian dan mengasingkan diri.

“Kami terus percaya bahawa sebahagian besar rakyat Singapura bertanggungjawab dan mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat, terus memainkan peranan kita dan tanganinya bersama-sama,” katanya.

Kluster KTV pertama kali dilaporkan pada 12 Julai, hari yang sama Singapura melonggarkan sekatan Covid-19 termasuk membenarkan lima orang makan pada satu meja berbanding dua sebelum ini.

Rabu lalu, polis menyatakan tiga pengendali KTV disiasat kerana didakwa menyediakan “khidmat pelayan” di premis mereka.

Seramai 20 wanita juga diberkas kerana disyaki terlibat dalam kegiatan maksiat di tiga KTV tersebut, yang sudah ditukar menjadi cawangan F&B.

Related posts

Leave a Comment