Delta merebak dalam 15 saat

PUTRAJAYA 15 Julai – Varian baharu Delta boleh merebak dalam masa 15 saat saja, kata Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah.

Berbanding kes positif Covid-19 sebelum ini, beliau berkata, individu yang terdedah boleh menjangkitkan virus berkenaan dalam jangka masa kurang dari 15 minit dengan jarak satu meter.

“Sifat virus ini berubah. Dengan varian Delta ini, dalam tempoh masa 15 saat boleh merebak dan jangkitan melalui udara.

“Disebabkan itu, walaupun sudah divaksinasi, kita nasihatkan orang ramai untuk kekal memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal,” katanya.

Di samping itu, elak berada di tempat yang sesak atau sempit kerana jangkitan boleh berlaku di kawasan yang tidak mempunyai pengudaraan yang baik.

“Tampil ke hadapan untuk mendapatkan vaksin kerana kita yakin ini dapat membendung kita daripada mendapat jangkitan COVID-19 yang lebih teruk,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dr Noor Hisham turut memberi contoh, Wilayah Persekutuan Labuan sebelum ini menunjukan peningkatan kes yang mendadak kerana terdapat varian Delta.

“Sebelum ini jangkitan di Labuan meningkat sebanyak 1,340 kes dalam masa satu minggu. Kita kesan terdapat jangkitan varian Delta yang dibawa oleh pekerja industri perkapalan.

“Dalam masa yang sama kita pertingkatkan tindakan kesihatan awam, termasuk program vaksinasi dan dalam masa dua minggu kita dapat mengawal penularan di wilayah berkenaan. Kini hanya 26 kes dilaporkan di sana,” katanya.

Related posts

Leave a Comment