Lebih separuh kes saringan kontak

PUTRAJAYA 15 Julai – Lebih separuh daripada 6,120 kes baharu Covid-19 di Selangor hari ini dikesan hasil saringan kontak rapat, manakala sebahagian kecil daripada saringan pekerja, individu bergejala dan lain-lain.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr Sha’ari Ngadiman, berkata sejumlah 4,150 kes atau 67.8 peratus kes baharu di Selangor hari ini adalah daripada saringan kontak rapat.

Katanya, saringan pekerja pula membabitkan 913 kes atau 14.9 peratus, disusuli individu bergejala dengan 781 kes yang bersamaan 12.8 peratus.

“Kes lain pula membabitkan 111 kes saringan tidak bergejala atau 1.8 peratus, 94 kes atau 1.5 peratus daripada saringan berkait kluster, lima kes atau 0.1 peratus daripada saringan komuniti, serta lain-lain yang jumlahnya amat kecil.

Ini bermakna, majoriti kes yang dikesan hari ini adalah daripada kontak rapat, disusuli saringan pekerja dan seterusnya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau ditanya sama ada penularan Covid-19 di kilang menjadi antara penyumbang utama lonjakan kes di Selangor ketika ini.

Mengulas lanjut, Dr Sha’ari berkata, sejumlah 65 peratus kes Covid-19 yang hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Selangor adalah pesakit kategori 1, 20 peratus kategori 2 dan 15 peratus kategori tiga hingga lima.

Katanya, terdapat kes di mana pesakit kategori dua yang diarah menjalani kuarantin di rumah, bertukar ke kategori lebih teruk dalam jangka masa tertentu.

Related posts

Leave a Comment