Singapura lapor 60 kes baharu

SINGAPURA 14 Julai – Satu kenaikan yang dianggap mendadak apabila Singapura melaporkan 56 kes baharu Covid-19 dalam masyarakat hari ini dan empat kes import menjadikan jumlah keseluruhan 62,804.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), daripada 56 kes tempatan itu, sebanyak 41 kes termasuk dalam kluster jangkitan KTV.

Sebanyak 17 kes ada kaitan dengan kes terdahulu dan dikuarantin manakala 33 lagi dikaitkan dengan sebelumnya, dikesan melalui pemantauan dan enam kes tidak mempunyai sebarang hubung kait.

Empat kes import pula telah dikenakan notis jangan keluar rumah (SHN) setibanya di Singapura. Semua kes dikesan sejurus mereka tiba di Singapura.

Sementara itu, salah satu daripada 41 jangkitan yang dikaitkan dengan kluster KTV itu adalah penumpang kapal persiaran World Dream, yang berpatah balik ke Singapura beberapa jam lebih awal dari yang dijadualkan, supaya lelaki itu dapat turun untuk menjalani ujian lanjut.

Pada Isnin lalu, MoH menyatakan bahawa pihaknya sedang menyiasat sekumpulan pelayan sosial Vietnam yang dijangkiti Covid-19 dan sering ke kelab KTV yang kini beroperasi sebagai cawangan makanan dan minuman.

Related posts

Leave a Comment