Selangor akan terima 4 juta dos

PUTRAJAYA 13 Julai – Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) akan memberi empat juta dos vaksin kepada Selangor dengan tambahan sejuta bagi penduduk di negeri itu pada bulan ini.

Menteri Kesihatan,  Dr Adham Baba, berkata persetujuan itu dicapai CITF bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin bagi mempercepatkan usaha mencapai imuniti kelompok di Selangor.

“Kapasiti petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) juga akan ditambah bagi meningkatkan suntikan vaksinasi di negeri itu,” katanya pada sidang media khas Pengurusan Pandemik Covid-19 di Lembah Klang, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Dr Adham berkata, Selangor sudah mencapai jumlah vaksinasi melebihi empat juta dengan tiga juta daripadanya membabitkan dos suntikan pertama dan lebih 934,000 bagi dos kedua, sekali gus melepasi nilai ambang indikator ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sementara itu warga Selangor yang dikesan positif Covid-19 diminta untuk hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di daerah mereka menetap.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata ia bagi mengelakkan kesesakan dan memudahkan urusan.

Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor bagi meningkatkan kapasiti CAC dengan mengambil kira beberapa faktor utama seperti jumlah kakitangan atau sukarelawan perubatan serta lokasi yang sesuai,” katanya menerusi muat naik status di media sosial beliau pada Selasa.

Related posts

Leave a Comment