100,000 terima vaksin di Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN 10:Julai – Lebih 100,000 orang telah menerima vaksin Covid-19 termasuk 4,134 orang yang diberi suntikan semalam, demikian menurut Kementerian Kesihatan Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan kementerian itu semalam, seramai 17,267 penduduk, iaitu sekitar 3.8 peratus menerima dua dos vaksin dan 90,500 (20.0 peratus) penduduk menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 15,166 warga emas menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Mengenai kes Covid-19, tiada kes baharu dilaporkan setakat 12 tengah hari semalam dan jumlah kes kekal 266 orang.

Setakat ini, Brunei Darussalam mencatatkan 429 hari kes sifar, iaitu bagi kes terakhir jangkitan tempatan Covid-19 sejak laporan terakhir dicatatkan, pada 6 Mei 2020.

Sejak kes terakhir jangkitan tempatan dilaporkan, sebanyak 125 kes import direkodkan.

Lapan kes aktif masih menjalani rawatan di Pusat Pengasingan Kebangsaan dan menjadikan jumlah keseluruhan kes yang sembuh setakat ini seramai 255 orang.

Kementerian Kesihatan juga memaklumkan mengenai Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di mana seramai 569 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori, sementara 21,437 orang menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.

Related posts

Leave a Comment