3,000 kes dalam 24 jam

INDONESIA merekodkan kes positif baharu Covid-19 melebihi angka 3,000 dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan kes kini 180,646.

Berdasarkan data di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19 hari ini, 2 September, sebanyak 3,075 kes positif baharu dicatatkan.

Jumlah kes harian tertinggi setakat ini ialah 3,308 kes pada Sabtu lepas, sebelum berkurangan di bawah angka 3,000 sehingga semalam.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, sebanyak 111 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah keseluruhan kematian 7,616 orang.

Jakarta mencatatkan kes positif baharu tertinggi iaitu 1,054 kes dan menjadi provinsi tertinggi kes positif keseluruhan iaitu 42,041 kes, diikuti Jawa Timur 34,278 kes dan selebihnya di provinsi lain.

Sementara itu, Jawa Timur mencatatkan rekod kematian tertinggi keseluruhan iaitu 2,425 diikuti Jakarta (1,231) dan selebihnya di 32 provinsi lain di Indonesia.

SINGAPURA melaporkan 49 kes baharu Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan virus itu 56,901.

Terdapat tiga kes dalam komuniti, satunya melibatkan warga Singapura dan dua pemegang pas kerja.

Kementerian Kesihatan memaklumkan terdapat tiga kes import yang semuanya diberikan Notis Tinggal di Rumah atau diasingkan semasa tiba di Singapura.

Dalam data lengkap lewat semalam, republik itu mengklasifikasikan 910 kes yang dilaporkan sebagai diimport, 2,241 kes komuniti dan 53,701 penghuni asrama.

Sebanyak 55,749 pesakit pulih sepenuhnya sementara 86 masih menerima rawatan.

THAILAND merekodkan lapan kes baharu Covid-19 semuanya kes import yang membawa kepada jumlah keseluruhan kes 3,425, di mana sebahagian besar telah pulih manakala jumlah kematian pula kekal 58.

Kes baharu itu melibatkan lelaki Thai, 34, dan wanita Thai, 36, yang tiba dari Amerika Syarikat pada Khamis lalu. Mereka diuji pada Isnin dan dikuarantin di

Chon Buri.  Turut terlibat, empat sekeluarga Amerika iaitu lelaki dan wanita masing-masing berusia 48 tahun serta anak lelaki 15 dan perempuan, 13 tahun.

Satu kes lagi melibatkan pelajar berusia 27 tahun yang tiba dari Australia pada 24 Ogos dan dua wanita yang tiba dari Jeoun pada Jumaat lalu.

FILIPINA setakat pukul 4 petang 2 September 2020 merekodkan 2,218 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 226,440 kes.

Jabatan Kesihatan (DoH) juga memaklumkan 609 pesakit telah pulih yang membawa jumlah keseluruhan pesakit yang sembuh sebanyak 158,610.

Sebanyak 27 pesakit meninggal dunia yang membawa kepada 3,623 kematian manakala kes aktif pula sebanyak 64,207.

Related posts

Leave a Comment