GENEVA : “Dunia sekarang berada di titik bahaya pandemik” kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus ketika memulakan ucapannya pada taklimat media, 7 Julai (waktu tempatan).
“Kita baru sahaja melepasi angka 4 juta kes kematian akibat Covid-19 yang berkemungkinan lebih lagi daripada yang direkodkan,” katanya merujuk jumlah keseluruhan kematian global.
Beliau berkata terlalu banyak negara di seluruh dunia yang merekodkan peningkatan drastik kes harian Covid-19 dan jumlah pesakit yang memerlukan rawatan di hospital.
Jumlah kematian global melepasi 4 juta kes pada Rabu dengan lebih 184 juta kes jangkitan seluruh dunia.
Justeru, pihaknya menggesa agar setiap kerajaan mengamalkan langkah waspada yang lebih ketat terutamanya dalam melonggarkan sekatan yang dikuatkuasakan bagi membendung penularan yang lebih meluas.
“Terdapat beberapa negara yang sudah mencapai kadar vaksinasi tinggi dan akan mengagihkan vaksin booster dalam beberapa bulan akan datang serta melonggarkan sekatan awam, seolah-olah pandemik ini sudah berakhir.
“Bagaimanapun, terdapat varian yang sangat cepat menular dan ketidaksamarataan vaksinasi, menyebabkan terlalu banyak negara menyaksikan peningkatan kes secara drastik.
“Ini menyebabkan bekalan oksigen yang tidak mencukupi dan gelombang kematian di Afrika, Asia dan Amerika Latin,” katanya.
Varian kini memenangi perlumbaan melawan vaksin kerana pengeluaran dan pengedaran vaksin yang tidak adil, yang juga mengancam pemulihan ekonomi global.
Beliau juga berkata, amat menjijikkan, pada tahap pandemikini, masih ada berjuta pekerja kesihatan dan penjagaan yang masih belum diberi vaksin.
