10.4 juta terima suntikan vaksin

PUTRAJAYA 9 Julai – Jumlah suntikan harian vaksin Covid-19 yang direkodkan pada 8 Julai adalah yang tertinggi pernah dicatatkan iaitu 376,909 dos.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memaklumkan, daripada jumlah itu 222,927 adalah penerima dos pertama dan 153,982 adalah penerima dos kedua.

Jumlah ini sekali lagi memecah rekod jumlah dos harian tertinggi pernah dicatatkan negara berbanding hari sebelumnya dengan 375,842 dos.

Semalam, Selangor merekodkan jumlah harian dos tertinggi dengan lebih 80,000 bagi dos pertama dan kedua diikuti Sarawak, lebih 70,000.

Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 15 Jun lalu menyasarkan peningkatan kadar vaksinasi kepada lebih 300,000 dos sehari selepas Jun.

Sementara itu, jumlah kumulatif pemberian dos pertama dan kedua dalam negara ketika ini adalah 10.413 juta.

Daripada jumlah populasi, 22.1 peratus sudah melengkapkan dos pertama, manakala 9.8 peratus sudah melengkapkan dos kedua.

Peratusan lengkap divaksinasi ini meletakkan sasaran PPN untuk mencapai 10 peratus divaksin sepenuhnya untuk beralih kepada Fasa 2 hampir terlaksana.

Kuala Lumpur mencatatkan jumlah peratusan tertinggi dengan 73.4 peratus yang melengkapkan dos pertama diikuti Sarawak dengan 46.6 peratus.

Related posts

Leave a Comment