Lambda lebih bahaya, ‘kebal’

PUTRAJAYA 7 Julai – Malaysia perlu memperketatkan kawalan sempadan antarabangsa bagi mengelak kemasukan varian Lambda Covid-19 yang dilaporkan lebih berbahaya dan mungkin ‘kebal’ terhadap vaksin yang sedia ada.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tindakan itu perlu walaupun setakat ini penelitian pihaknya belum merekodkan sebarang penemuan varian berkenaan yang dikesan berasal dari Peru itu.

Bagaimanapun, katanya, usaha membabitkan pelbagai agensi dalam membendung penularan varian baharu dan berbahaya sedemikian akan terus dipergiatkan.

“Setakat ini tiada kes (varian Lambda) dikesan di negara kita. Kebanyakan kes (penularan Lambda) di Amerika Selatan.

“Kita kena memperketatkan kawalan sempadan antarabangsa,” katanya kepada BH, semalam.

Varian Lambda yang dikenali sebagai C.37 mengikut klasifikasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pertama kali dikesan di Peru, setakat ini menyebabkan 80 peratus penduduk di Amerika Selatan itu dijangkiti varian terbabit.

Pada 14 Jun lalu, WHO mengisytiharkan varian Lambda sebagai varian berkepentingan (VOI), malah pakar kesihatan antarabangsa menyatakan mutasi sedemikian jarang ditemui, sekali gus mengundang kemungkinan ia kebal terhadap vaksin Covid-19 sedia ada.

Berdasarkan perangkaan, varian Delta yang berasal dari India menyebabkan 38 peratus kematian, namun Lambda bertindak lebih ganas dan dikesan merebak ke lebih 30 negara di seluruh dunia.

Saintis Nick Cater dari Pusat Penyelidikan Menzies, sebelum ini dilaporkan berkata, Lambda lebih mudah menular berbanding varian Gamma dan Alpha, selain berupaya melawan sistem pertahanan badan dihasilkan menerusi suntikan vaksin.

Hal itu kerana mutasi dalam lonjakan protein varian Lambda meningkatkan keupayaan jangkitan itu dan menangkis susulan suntikan pelalian.

Related posts

Leave a Comment