6.25 tan botol vaksin dilupus

PUTRAJAYA 6 Julai – Sebanyak 6.25 tan botol vaksin kosong, sudah dilupuskan sebagai sisa klinikal sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan di negara ini pada 24 Februari lalu.

Botol yang dilupuskan itu adalah hasil pemberian vaksin Covid-19 kepada 7,593,179 orang sehingga 28 Jun lalu.

Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataannya berkata, semua sisa botol vaksin yang dijana di setiap Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dikumpulkan di stor PPV secara harian.

“Botol-botol ini akan dihantar ke hospital untuk proses penimbangan sebelum diangkut keluar mengikut frekuensi pengangkutan sisa klinikal yang telah ditetapkan bagi tujuan pelupusan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, botol-botol vaksin, jarum dan picagari daripada aktiviti pemberian vaksin diklasifikasikan sebagai sisa klinikal di bawah kategori sisa tajam.

Semua tong sisa tajam di stor PPV yang dihantar ke hospital seterusnya dibawa untuk tujuan pelupusan ke loji rawatan sisa klinikal yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar.

Menurut kenyataan itu, proses melupuskan sisa vaksin diuruskan syarikat berkelayakan yang dilantik oleh kerajaan dengan mematuhi keperluan dan syarat-syarat terkandung dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Terdapat 12 lokasi di seluruh negara bagi pelupusan sisa klinikal ini.

Related posts

Leave a Comment