KUALA TERENGGANU 24 April – Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang bermesyuarat semalam bersetuju menguatkuasakan larangan penjualan produk rokok elektronik (vape) di semua premis seluruh negeri mulai 1 Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata keputusan itu adalah langkah proaktif bagi membendung penjualan dan penggunaan vape yang memberi kesan negatif terhadap kesihatan rakyat terutama generasi muda.
Katanya, antara keputusan yang dipersetujui ialah kerajaan negeri mengekalkan dasar sedia ada dengan tidak meluluskan lesen perniagaan kepada mana-mana premis yang menjual produk vape selaras dengan undang-undang kecil yang berkuat kuasa di semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) Terengganu.
Dalam satu kenyataan malam ini, Wan Sukairi berkata, syarat lesen perniagaan pula akan diperkemas bagi memastikan larangan penjualan vape dapat dikuatkuasakan sepenuhnya.
Katanya , mana-mana pengusaha vape yang masih menjalankan aktiviti perniagaan selepas tempoh larangan dikuatkuasakan akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang kecil yang digubal di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) iaitu hukuman kompaun, sita dan pendakwaan di mahkamah.
Sebagai komitmen dan ketegasan, kerajaan negeri juga memutuskan untuk tidak menerima sebarang bentuk tajaan daripada mana-mana syarikat pengeluar atau pengedar vape bagi apa jua penganjuran acara membabitkan kerajaan negeri.
“Tempoh lanjutan selama tiga bulan dari 1 Mei hingga 31 Julai 2025 akan diberikan sebelum aktiviti penguatkuasaan dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Ogos termasuk membabitkan papan iklan berkaitan perniagaan vape.
“Bagi menjaga kebajikan pengusaha vape yang terjejas, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) akan menawarkan penyertaan dalam kursus keusahawanan serta peluang perniagaan dalam sektor yang lebih mampan dan selamat,” katanya.
Nnn