Pulau Pinang masuki Fasa 2 PPN

KUALA LUMPUR 5 Julai – Pulau Pinang negeri keenam memasuki peralihan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 7 Julai 2021, kata Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Lima negeri yang memasuki Fasa 2 mulai hari ini adalah Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis.

Menurut Ismail Sabri, keputusan itu dibuat dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara hari ini setelah meneliti nilai-nilai ambang negeri.

“Peralihan fasa negeri Pulau Pinang berikutan pencapaian nilai ambang tiga indikator utama iaitu purata kes jangkitan harian selama tujuh hari di bawah nilai ambang 12.2 kes per 100,000 iaitu 9.5 kes per 100,000.

“Kadar penggunaan katil wad ICU mencapai tahap sederhana (moderate) dan penilaian Capacity to Respond yang berada pada tahap adequate.

“Kadar vaksinasi lengkap dua dos ke atas populasi dewasa melebihi 10% iaitu pada kadar 10.1%,” katanya dalam kenyataan harian pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan hari ini.

Jelasnya, keputusan dicapai berdasarkan tiga indikator tersebut serta penilaian terperinci agensi-agensi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau juga menasihatkan negeri-negeri yang telah beralih ke fasa dua agar terus melindungi komuniti daripada jangkitan Covid-19 dan meningkatkan prestasi negeri masing-masing supaya dapat beralih ke fasa seterusnya.

“Ini akan membantu untuk mempercepatkan proses pemulihan sektor-sektor ekonomi dan sosial di negeri-negeri yang berkenaan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment