Amaran gelombang kelima di Iran

IRAN bakal menghadapi gelombang kelima jangkitan Covid-19 sekiranya tidak ada usaha dilakukan dalam mengikuti protokol kesihatan berikutan kehadiran varian Delta yang mudah menular.

Presiden Hasssan Rouhani ketika memberi amaran tersebut berkata, menurut laporan, hanya 69 peratus rakyat melakukan tindakan berjaga-jaga.

Jelasnya, varian Delta memasuki negara itu dari selatan dan tenggara, justeru orang ramai perlu berhati-hati untuk mencegah penyebarannya dengan mematuhi peraturan kesihatan sekiranya tidak mahu menghadapi masalah.

Iran dengan populasi 83 juta mencatatkan 84,627 kematian akibat Covid-19, jumlah tertinggi di Asia Barat.

Pihak berkuasa kesihatan mengisytiharkan Teheran dan 91 bandar lain sebagai zon merah dan berisiko tinggi.

Antara sekatan dilaksanakan ialah penutupan perniagaan tidak penting dan mengehadkan kehadiran pekerja kepada 30 peratus di ibu negara.

Kerajaan Iran menyalahkan sekatan Amerika Syarikat punca vaksinasi perlahan di negara itu.

Setakat ini Iran hanya menerima sebahagian kecil daripada 16.8 juta vaksin yang dipesannya dari program COVAX.

Related posts

Leave a Comment