R-naught catat trend peningkatan

PUTRAJAYA 3 Julai – Kadar kebolehjangkitan (R-naught) Covid-19 di Malaysia terus mencatatkan trend peningkatan, iaitu 1.07 semalam (Jumaat) berbanding 1.06 pada hari sebelumnya.

Walaupun negara dalam sekatan pergerakan penuh atau total lockdown, nilai tersebut terus meningkat selama tujuh hari berturut-turut sejak 25 Jun lalu.

Setakat ini, kadar kebolehjangkitan terendah yang dicatatkan ketika total lockdown ialah 0.90 pada 12 Jun.

Lima negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan melebihi purata kebangsaan.

Pahang catat kadar kebolehjangkitan tertinggi dengan 1.27 diikuti Putrajaya 1.13, manakala Selangor, Pulau Pinang dan Melaka masing-masing 1.07.

Ini diikuti Kuala Lumpur dan Kedah 1.03, Perak 1.00, Negeri Sembilan 0.98, Labuan 0.97, Sabah 0.96, Sarawak 0.94, Johor 0.91, Kelantan 0.83 dan Terengganu 0.75.

Perlis satu-satunya negeri mencatatkan sifar kes baharu Covid-19.

Tahun ini, kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan ialah 0.81 pada 3 Mac lalu manakala yang tertinggi dicatatkan ialah 1.21 pada 23 Mei.

Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Related posts

Leave a Comment