AS kirim 4 juta dos ke Indonesia

WASHINGTON: Amerika Syarikat akan menghantar empat juta dos vaksin Covid-19 Moderna ke Indonesia, melalui program perkongsian vaksin global COVAX “secepat mungkin”.

Menurut satu kenyataan Rumah Putih, penasihat keselamatan negara Jake Sullivan memaklumkan perkara itu kepada Menteri Ehwal Luar Retno Marsudi semalam.

Sullivan berkata sumbangan itu sebagai tanda sokongan Amerika Syarikat kepada rakyat Indonesia yang sedang melawan lonjakan kes Covid-19.

Kedua-dua pegawai itu turut membincangkan rancangan Amerika Syarikat untuk menambah bantuan bagi respons lebih luas Indonesia terhadap Covid-19.

Indonesia adalah negara keempat dengan paling ramai penduduk di dunia dan sedang melawan salah satu penularan koronavirus terburuk di Asia.

Negara itu mencatatkan jumlah rekod kes baru sepanjang lapan hari lalu, termasuk 25,830 kes pada Jumaat dan jumlah rekod 539 kematian.

Indonesia bergantung pada vaksin Sinovac Biotech dari China, tetapi kini berusaha untuk mempelbagaikan sumber bekalannya. 

Related posts

Leave a Comment