12 juta vaksin tiba bulan ini

PUTRAJAYA 3 Julai – Tempoh tiga bulan akan datang bakal menjadi waktu yang sangat sibuk dan kritikal berikutan ketibaan lebih 12 juta dos vaksin bagi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK)

Menteri Penyelarasnya, Khairy Jamaluddin, ketika memaklumkan perkara itu berkata, jumlah vaksinasi yang dicatatkan sejak PICK mula dilaksanakan pada Februari lalu ialah sekitar lapan juta dos.

“Tetapi bagi Julai ini sahaja, kita bakal menerima bekalan vaksin lebih 12 juta dos. Sudah pasti Julai akan menjadi tempoh yang genting buat PICK apabila kapasiti pemberian vaksin ditingkatkan di seluruh negara,” katanya.

Bagi memastikan kelancaran vaksinasi, lancar, lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka dan tambahan tenaga kerja kesihatan dan sukarelawan.

Ketika ini, sebanyak 1,400 PPV sedang beroperasi di seluruh negara, selain PPV dalam pelbagai bentuk serta saiz, termasuk secara sementara di perkampungan Orang Asli.

“Kita turut membuka PPV di rumah ibadat, sekolah, universiti, dewan komuniti, tempat kerja, kawasan perladangan dan restoran, selain berteraskan konsep pandu lalu,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di Twitter, hari ini.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata usaha giat juga sedang dilakukan bagi memastikan tempahan vaksin satu dos CanSino oleh Malaysia berupaya dihantar pada bulan ini.

Beliau juga memaklumkan  usaha memberikan suntikan vaksin kepada 300,000 pekerja sektor pembuatan pengangkutan, pembinaan dan perladangan akan dipergiatkan dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Malaysia juga memantau dan meneliti data keberkesanan vaksin, khususnya dalam keadaan penularan varian Delta B1617.2 dan yang lain.

“Seperti mana negara lain, kita juga sedang mengkaji sekiranya wujud keperluan untuk memberikan suntikan tambahan atau dos penggalak.

“Besar kemungkinan, Covid-19 akan terus ada dan menjadi endemik serta memerlukan vaksinasi berkala seperti mana suntikan virus selesema,” katanya.

Demi memastikan kelancaran PICK, Khairy memberi jaminan bahawa aplikasi MySejahtera akan sentiasa ditambah baik bagi membolehkan sebarang isu yang timbul berupaya diatasi dengan segera.

Related posts

Leave a Comment