Sidang Parlimen sebelum 1 Ogos

PUTRAJAYA 2 Julai – Sidang Parlimen akan diadakan secepat mungkin sebelum 1 Ogos, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan hari ini.

Takiyuddin berkata, Jemaah Menteri akan memuktamadkan tarikh persidangan Parlimen pada 7 Julai ini.

Dalam kenyataannya, beliau memaklumkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin selaku Ketua Majlis Parlimen turut memutuskan untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin sebelum 1 Ogos ini.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa menjunjung titah pandangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam semua hal berkaitan pemerintahan negara termasuklah berhubung dengan persidangan Parlimen.

“Sehubungan dengan itu YAB Perdana Menteri selaku Ketua Majlis Parlimen telah memutuskan akan memanggil sidang Parlimen Malaysia secepat mungkin sebelum 1 Ogos 2021,” katanya.

Sebelum ini, Yang di-Pertua Dewan Negara, Rais Yatim dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun memaklumkan bahawa satu persidangan khas Parlimen akan diadakan dalam masa terdekat.

Malah, kedua-dua Yang di-Pertua turut mencadangkan kepada Ketua Majlis Parlimen untuk mengadakan sidang Parlimen sebelum 1 Ogos.

Related posts

Leave a Comment