Covid -19 : Darurat di Jawa dan Bali

JAKARTA 1 Julai – Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) mengumumkan pelaksanaan perintah Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) atau darurat di Jawa dan Bali sebagai langkah membendung penularan Covid-19.

“Saya memutuskan untuk memberlakukan PPKM darurat dari 3 hingga 20 Julai 2021 khusus di Jawa dan Bali,” kata Jokowi dalam pengumuman yang dibuat di Istana Kepresidenan hari ini.

Pengumuman darurat di Jawa dan Bali dibuat susulan penularan varian Delta yang menyaksikan peningkatan kes Covid-19 di negara itu sejak seminggu lalu.

Serentak itu, Jokowi berkata, kerajaan akan menggunakan seluruh jentera yang ada untuk mencegah penularan Covid-19

“Tentera, polis, doktor, kakitangan awam dan perubatan harus bekerja keras sebaik mungkin untuk melawan wabak ini,” kata Jokowi.

Selama pelaksanaan perintah darurat di Jawa dan Bali hanya beberapa sektor penting sahaja dibenarkan beroperasi.

Pelaksanaan perintah darurat itu akan meliputi 122 wilayah dan kota di seluruh Jawa yang merangkumi 60 peratus daripada 270 juta populasi Indonesia selain di kepulauan Bali yang menjadi destinasi percutian popular yang memiliki kepadatan empat juta orang.

Indoesia merekodkan jumlah kes Covid-19 tertinggi di Asia Tenggara sehingga mencecah 2.17 juta kes dilaporkan serta 58,000 kematian.

Berdasarkan perintah darurat, semua industri yang tidak termasuk dalam sektor penting perlu bekerja dari rumah, manakala 50 peratus kakitangan di sektor perbankan, pasaran saham, komunikasi dan teknologi serta petugas hotel harus bekerja mengikut syif-syif yang dibenarkan.

Pusat beli-belah, rumah ibadah, taman reakreasi akan ditutup manakala restoran hanya dibenarkan operasi untuk perkhidmatan membungkus makanan sahaja.

Sementara majlis perkahwinan dibenarkan dengan jumlah tetamu terhad kepada 30 orang dan tanpa jamuan, sebaliknya, dibekalkan pek makanan.

Pasaraya atau kedai menjual barangan keperluan hanya boleh dibuka sehingga pukul 8 malam dengan jumlah pengunjung terbatas pada 50 peratus kapasiti.

Related posts

Leave a Comment