10 kes jangkitan baharu di Singapura

SINGAPURA 1 Julai – Sepuluh kes jangkitan baharu Covid-19 dilaporkan di Singapura hari ini yang melibatkan enam kes import dan empat kes jangkitan tempatan.

Bagi kes tempatan, kesemuanya ada kaitan dengan kes terdahulu di mana tiga daripadanya sudah dikuarantin.

Menurut Kementerian Kesihatan, semua kes import sudah diberi Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan setibanya di Singapura.

Seorang dikesan sebaik tiba di Singapura manakala lima mengalami simptom Covid-19 semasa menjalani SHN atau diasingkan.

Tiada kes baru jangkitan dikesan di asrama pekerja asing.

Secara keseluruhan Singapura melaporkan 62,589‬ kes Covid-19 dan 36 kematian akibat penyakit itu. 

Sementara itu, semua kes Covid-19 yang berada dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU) sepanjang minggu lalu berusia 60 tahun ke atas.

Menurut data Kementerian Kesihatan semalam, daripada 133 kes yang terlantar di hospital, lapan adalah kes serius yang memerlukan bantuan oksigen tambahan dan empat dalam keadaan kritikal di ICU pada Rabu. Kesemua empat pesakit di ICU itu berusia melebihi 60 tahun.

Sejak 24 Jun, semua kes yang dimasukkan ke ICU tergolong di bawah kumpulan usia itu.

Related posts

Leave a Comment