SINGAPURA 30 Jun – Tempoh menunggu minimum antara dua suntikan vaksin Pfizer-BioNTech atau Comirnaty, dan Moderna dipendekkan daripada enam hingga lapan minggu kepada empat minggu.
Kementerian Kesihatan (MoH) dalam kenyataannya berkata, semua individu yang layak dan membuat janji temu vaksinasi mulai semalam boleh menjadualkan janji temu mereka mengikut tempoh baharu.
Mereka yang sudah menerima dos pertama dan janji temu dos kedua mereka dijadualkan dalam tempoh enam hingga lapan minggu boleh membuat janji temu baharu atau menjadualkan semula tempoh itu.
Bagi penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang di Singapura yang berusia 12 hingga 39 tahun juga boleh mendapatkan vaksinasi mereka pada 30 Jun, iaitu lebih awal daripada 2 Julai yang diumumkan sebelum ini.
Ini disebabkan kadar pengambilan vaksin yang berterusan oleh warga Singapura dan pendaftaran baru dari warga berusia 12 hingga 39 tahun yang semakin berkurangan.
Setakat 28 Jun, lebih 5.3 juta dos vaksin telah diberikan kepada penduduk, di mana kira-kira 3.3 juta atau sekitar 60 peratus penduduk menerima sekurang-kurangnya dos pertama dan 2.1 juta individu sudah menerima dos kedua.
Bagi tempoh yang sama, sekitar 76 peratus warga emas ( 60 tahun ke atas yang layak), 78 peratus penduduk berusia 45 hingga 59 tahun, serta 73 peratus dalam golongan 40 hingga 44 tahun telah menerima vaksinasi atau menempah janji temu.
Hampir 80 peratus warga Singapura berusia 12 tahun hingga 39 tahun, termasuk pelajar Kementerian Pendidikan, sudah divaksinasi atau membuat janji temu.
“Kami sangat menggalakkan warga Singapura berusia 12 hingga 39 tahun yang belum mendaftar dan membuat janji temu untuk melakukannya dengan segera, agar mereka dapat dilindungi daripada Covid-19 seawal mungkin,” kata MoH.