Tahun sukar mengembara

LONDON 22 Jun – Tahun sukar untuk mengembara ke luar negara. Itu ingatan kepada rakyat United Kingdom (UK) yang bakal berdepan cabaran dan kerumitan jika merancang untuk mengembara ke luar negara tahun ini.

Perdana Menteri Britain Boris Johnson, berkata “akan ada kesulitan, akan ada kelewatan” bagi yang merancang untuk mengembara.

Katanya, keutamaan sekarang adalah untuk menjaga keselamatan negara dan menghalang virus itu daripada datang semula.

Dalam perkembangan sama, Johnson menyatakan kerajaan sedang mengkaji untuk melonggarkan peraturan bagi mereka yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Bagaimanapun, katanya, keutamaan tetap akan diberikan kepada usaha melindungi negara daripada pandemik tersebut.

UK pada Isnin merekodkan 10,633 kes jangkitan baharu Covid-19, mengalami peningkatan berbanding 9,284 pada hari sebelumnya, akibat varian Delta yang pertama kali dikesan di India.

Lima orang lagi meninggal pada Isnin (dalam masa 28 hari setelah diuji positif), berbanding enam pada Ahad.

Setakat ini, sebanyak 81.9 peratus orang dewasa telah mendapat suntikan dos pertama vaksin, manakala 59.7 peratus kedua-dua dos.

Related posts

Leave a Comment