Pfizer-BioNTech + AstraZeneca pelan B

KUALA LUMPUR 21 Jun – Penggunaan kaedah heterologi atau campuran vaksin di antara Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca adalah pelan B sekiranya berlaku gangguan pada bekalan vaksin Covid-19 negara.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, berkata kaedah itu sedang dalam kajian berikutan penggunaan oleh banyak negara lain.

Bagaimanapun, katanya, mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dua minggu lalu mendapati, data yang diperoleh hasil kajian itu tidak menunjukkan keputusan meyakinkan.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata, penggunaan kaedah heterologi akan dipertimbangkan selepas JKJAV berpuas hati dengan dapatan kajian serta yakin bahawa ia selamat dan efektif.

“JKJAV sedang mengkaji data untuk pemberian vaksin yang berbeza tetapi kita belum buat apa-apa keputusan,” katanya.

Setakat ini, kaedah heterologi dilaporkan digunakan di Korea Selatan, Jerman dan Sepanyol.

Sementara itu, kerajaan akan mempertimbang penggunaan vaksin CanSino untuk golongan pelarian yang berada di negara ini bagi memudahkan dan mempercepat program imunisasi di negara ini.

Selain itu, katanya, langkah berkenaan dibuat berikutan kesukaran untuk mengenal pasti jumlah sebenar pelarian di negara ini.

“Vaksin CanSino yang akan diperoleh Julai nanti, hanya memerlukan satu dos. Jadi kita akan bagi mereka (pelarian) vaksin berkenaan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment