Imuniti kelompok November, Disember

KUALA LUMPUR 20 Jun – Malaysia dijangka boleh mencapai imuniti kelompok menjelang November atau Disember ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun katanya ia bergantung kepada peningkatan vaksinasi, strategi terpenting ketika ini, memandangkan kaedah kesihatan awam antaranya melalui kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan arahan duduk di rumah kurang berkesan.

“Sebab sudah terlalu lama sangat (situasi pandemik Covid-19). Ini menyebabkan kelesuan mental dan fizikal. Jadi, lebih susah untuk bertahan.

“Bila buka (kelonggaran), kes akan merebak. Jadi vaksin sandaran. Beri masa dua ke tiga bulan ini untuk meningkatkan vaksinasi,” katanya dalam Webinar Islam dan Isu Semasa bertajuk Sosialisasi Agamawan Dalam Menangani Covid-19 yang disiarkan secara langsung di Facebook Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) dan Persatuan Ulama’ Malaysia, malam ini.

Webinar yang membincangkan isu semasa COVID-19 itu turut menampilkan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dr Sirajuddin Suhaimee.

Mengulas kebimbangan memandangkan sektor ekonomi khususnya kilang yang menjadi penyumbang utama kluster di negara ini berbanding sektor lain, beliau menegaskan pihaknya sudah mengutarakan tiga cadangan bagi menangani isu berkenaan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) sudah membangkitkan perkara ini dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita faham keperluan untuk imbangkan ekonomi dan kesihatan tetapi sekarang ini ekonomi sumbang kepada peningkatan kes dan kita juga perlu melindungi sektor kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, antara perkara yang dicadangkan kepada MKN ialah memastikan kepatuhan kepada SOP, memandangkan masih ada kilang yang dikenal pasti ingkar kepada arahan berkenaan.

“Contohnya apabila dibenarkan dibuka dahulu, ada SOP tetapi tahap pematuhannya kelaut. Bila berlaku jangkitan, kilang tidak ditutup. Jadi sekarang ini, jika ada kes positif Covid-19, kilang itu diarahkan tutup dengan penguatkuasaan yang tinggi.

“Selain itu, tingkatkan vaksinasi dengan beri keutamaan kepada kilang yang penting. Mungkin majikan boleh dapatkan atau beli vaksin untuk diberi kepada pekerja.

“Jika kita tidak dapat laksanakan penguatkuasaan yagn baik, hanya ada satu cara lagi, tutup saja kilang. Ini sudah kita bentangkan. KKM hanya boleh memberi nasihat, tindakan di pihak MKN sama ada boleh laksanakan atau tidak,” katanya.

Related posts

Leave a Comment