Lonjakan kes di Indonesia

JAKARTA 17 Jun – Kes positif baharu Covid-19 di Indonesia melonjak kepada lebih 12,000 kes apabila merekodkan 12,624 kes, meningkat berbanding 9,944 yang direkodkan semalam.

Menurut data Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia, jumlah keseluruhan yang direkodkan setakat ini adalah 1,950,276 kes dengan kes aktif 125,303.

Pada masa yang sama 277 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan 53,753 orang.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, jumlah mereka yang sembuh adalah 7,350 orang, menjadikan jumlah keseluruhan 1,771,220 orang.

Lima wilayah merekodkan kes sembuh harian tertinggi iaitu Jakarta 1,870 dengan jumlah kumulatif 428,487, Jawa Barat 1,096 (307,892), Jawa Tengah 977 (190,067), Lampung 720 (17,397) dan Riau 340 (61,582).

Kes positif tertinggi dilaporkan di Jakarta sebanyak 4,144 dan kumulatifnya 458,815, Jawa Barat 2,800 (337,664), Jawa Tengah 1.752 (221,745), Jawa Timur 722 (161,385) dan Yogyakarta 595 (50,746)..

Jawa Timur merekodkan 53 kematian dengan kumulatifnya 11,866, Jawa Tengah 52 (9,746), Jakarta 50 (7,574), Kepulauan Riau 23 (442) dan Yogyakarta 18 (1,330).

Peningkatan kes baharu Covid-19 dikaitkan dengan kegiatan ‘mudik lebaran’ ataupun balik kampung semasa sambutan Aidilfitri baru-baru ini, dan penemuan varian baru iaitu Delta B1617.2 dan Beta B1351, yang kadar penularannya lebih cepat berbanding varian lain.

Sebelum sambutan Aidilfitri, jumlah kes positif harian di Indonesia pernah dicatatkan di bawah angka 4,000 kes.

Sementara itu bagi program vaksinasi, setakat hari ini, lebih 21.9 juta orang telah menerima dos pertama vaksin, termasuk tambahan 550,482 dos hari ini, manakala lebih 11.9 juta telah menerima dos kedua.

Related posts

Leave a Comment