Titah Parlimen bersidang segera

KUALA LUMPUR 16 Jun – Persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menzahirkan pandangan itu setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik.

Begitu juga pandangan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi Kerajaan.

Dalam kenyataan media oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka Baginda amat menyedari peranan Parlimen sebagai platform penting untuk wakil-wakil rakyat membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19.

“Dewan Rakyat boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan Kerajaan bagi membantu rakyat yang di dalam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi negara,” kata kenyataan itu sejurus selepas baginda mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, hari ini.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan pandangan bahawa perlu adanya pentadbiran Kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Baginda turut menzahirkan harapan agar angka jangkitan wabak Covid-19 dapat dilandaikan dengan segera dan berpandangan vaksinasi merupakan satu-satunya “exit strategy” bagi mengawal penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Kerajaan perlu bertindak tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat agar matlamat imuniti kelompok 80% (herd immunity) dapat dicapai seawal mungkin.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang juga mencerminkan keprihatinan tinggi Raja-Raja Melayu terhadap kemaslahatan negara dan kelangsungan hidup rakyat.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan dan seluruh rakyat yang bertungkus lumus mengorbankan masa serta penat lelah dalam usaha-usaha memerangi penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Seri Paduka Baginda turut mengajak rakyat untuk bersama mendoakan agar rakyat Malaysia dan negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.

Related posts

Leave a Comment