Balik kampung? Sabar dulu…

PUTRAJAYA 15 Jun – Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengakui paling banyak menerima rayuan untuk balik ke kampung bagi menziarahi ibu bapa dan keluarga tersayang tetapi perkara itu masih tidak boleh dilakukan.

“Sabar dulu… Kita mesti utamakan usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dahulu,” katanya yang juga sering menerima permintaan supaya acara sukan dengan kehadiran penonton di stadium dan majlis sosial dibenarkan.

Beliau berkata hasrat itu dapat dilaksanakan dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat apabila mencapai imuniti kelompok pada Fasa Keempat.

“Kejayaan kita mencapai imuniti kelompok pula bergantung kepada berapa ramai rakyat negara ini dapat menerima suntikan vaksin,” katanya dalam Perutusan Khas Pelan Pemulihan Negara, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, sekatan pergerakan penuh berjaya mengelak berlakunya peningkatan kes baharu, jika tidak penularan dijangka mencecah lebih 13,000 kes hari ini.

Katanya, situasi terburuk susulan penularan wabak sedemikian bakal menyaksikan keruntuhan sistem kesihatan negara.

“Alhamdulillah, dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh fasa pertama ini, kita dapat menyaksikan graf jangkitan kes Covid-19 mula menunjukkan pola melandai, dengan mencatatkan 4,949 kes semalam berbanding 9,020 kes pada 29 Mei lalu, iaitu kes harian tertinggi di Malaysia,” katanya.

Di samping itu sistem kesihatan negara juga masih mampu menampung kes-kes baharu di samping mencatatkan jumlah pesakit sembuh yang tinggi.

“Ini menunjukkan tindakan yang diambil oleh kerajaan membuahkan hasil. Kita berjaya tangani sebuah malapetaka,” katanya.

Related posts

Leave a Comment