Indonesia jangka Julai memuncak

JAKARTA 15 Jun – Indonesia menjangkakan gelombang baharu jangkitan Covid-19 memuncak pada awal Julai, berikutan varian Delta yang sangat mudah menular kini dominan di beberapa kawasan.

Pada masa yang sama, ruang rawat di hospital-hospital di Jakarta juga sudah berada pada tahap 75 peratus.

Hari ini Indonesia merekodkan 8,161 kes kes baharu Covid-19 yang menunjukkan sedikit penurunan yang membawa kepada jumlah kumulatif 1,927,708.

Angka kematian pula sebanyak 164 orang menjadikan 53,280 orang manakala kes sembuh merekodkan 6,407 menjadikan jumlah keseluruhan 1,757,641.

Bagi mencegah penularan Covid-19, Indonesia  memutuskan untuk melanjutkan sekatan aktiviti awam skala mikro (PPKM) selama dua minggu lagi bermula hari ini untuk mencegah penularan Covid-19.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata maksimum 25 peratus pekerja dibenarkan berada di pejabat di zon merah sementara selebihnya perlu bekerja dari rumah.

Di daerah pinggir bandar yang dikategorikan sebagai zon merah, kerajaan menetapkan pembelajaran secara dalam talian berikutan semua sekolah dan tempat ibadah ditutup.

Pusat beli-belah dan restoran akan ditutup pada 9 malam dan terhad kepada 50 peratus pengunjung sahaja dengan pematuhan ketat protokol kesihatan.

Semalam Presiden Indonesia, Joko Widodo meminta program vaksinasi ditingkatkan sehingga mencapai angka 700,000 sehari pada bulan ini dan 1 juta orang sehari pada bulan depan..

Related posts

Leave a Comment