Jawatankuasa bukan badan kehakiman

PUTRAJAYA 13 Jun – Jawatankuasa Siasatan insiden perlanggaran Transit Aliran Ringan (LRT) pada 24 Mei lepas, ditugaskan untuk menjalankan siasatan, bukannya badan kehakiman untuk menentukan kesalahan ke atas mana-mana pihak.

Menteri Pengangkutan, Dr Wee Ka Siong menegaskan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jawatankuasa MOT yang menyiasat insiden itu tidak pernah menyatakan tiada pihak yang boleh dipersalahkan kerana menyebabkan kejadian itu berlaku.

Katanya, tiada apa yang hendak disembunyikan berhubung siasatan insiden berkenaan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Sebarang tindakan dalaman/pentadbiran yang hendak diambil terhadap kakitangan terbabit dalam insiden ini, hendaklah berlandaskan kepada terma dan syarat diperuntukkan di dalam kontrak kerja yang ditandatangani oleh mereka dengan pihak Prasarana masing-masing,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook rasminya semalam..

Katanya, Jawatankuasa Siasatan bukannya ditubuhkan untuk menjatuhkan hukuman, dan MOT tiada kuasa untuk menghakimi apa jua kes.

“Ketika saya mengarahkan pembentukan Jawatankuasa Siasatan untuk memeriksa secara terperinci perlanggaran LRT ini, segala rujukan dapatan jawatankuasa itu juga haruslah dijelaskan dalam mencapai misinya. Kami ingin mengelakkan perkara seperti ini berulang pada masa akan datang,” katanya.

Beliau menegaskan, peranan jawatankuasa itu adalah untuk menentukan faktor dan sebab berlakunya kejadian berkenaan, iaitu fungsi utama penubuhan Jawatankuasa Siasatan untuk dilaksanakan dan menyelesaikannya dalam tempoh yang ditentukan.

Siasatan dilakukan berdasarkan fakta dan analisa data yang diperoleh dan, atau diberikan kepada jawatankuasa berkenaan secara profesional dengan keutamaannya adalah memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Seperti yang telah saya maklumkan pada sidang media pada 10 Jun, sebanyak 23 cadangan dibentang dan diterima oleh Kabinet adalah untuk membawa perubahan menyeluruh berhubung prosedur keselamatan dan operasi Rapid Rail Sdn Bhd serta Prasarana Malaysia Berhad, dan akan dilaksanakan dalam jangka masa yang dikemukakan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment