Tajuddin dikompaun RM1,500

KUALA LUMPUR 9 Jun – Bekas Pengerusi Prasarana, Tajuddin Abdul Rahman dikenakan kompaun RM1,500 kerana gagal memakai pelitup semasa mengadakan sidang media berkaitan kemalangan tren LRT di stesen KLCC, pada 25 Mei.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesalahan dilakukan di bawah Peraturan 17 (1) Peraturan-peraturan Pencegah dan Kawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata tawaran kompaun sebanyak RM1,500 akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Pada 27 Mei lalu, polis memaklumkan telah memanggil Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak itu untuk dirakam keterangan berhubung dakwaan itu.

Sebelum itu, media melaporkan polis menjalankan siasatan terhadap Tajuddin susulan video yang tular di media sosial menunjukkan Tajuddin tidak memakai pelitup muka ketika sidang media berhubung insiden pelanggaran tren Transit Aliran Ringan (LRT).

Tajuddin dilantik sebagai Pengerusi kumpulan itu berkuat kuasa 11 Mei 2020, menggantikan bekas Hakim Besar Malaya, Zaharah Ibrahim yang meletakkan jawatan pada 7 Mei 2020. Bagaimanapun Tajuddin ditamatkan perkhidmatannya  pada 26 Mei lalu.

Related posts

Leave a Comment