Al-Quran : Hayati ajaran tersurat, tersirat

BERAKAS 9 Jun – Generasi muda yang akan menerajui pembangunan negara khasnya dan seluruh masyarakat amnya perlu menghayati ajaran yang tersurat dan rahsia yang tersirat di dalam al-Quran.

Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkata, ini kerana al-Quran menyentuh seluruh aspek kehidupan, rohani dan jasmani, mental dan fizikal serta hubungan di antara ‘haliq’ dan sesama insan.

Katanya, umat Islam sepatutnya mengambil peranan yang lebih besar dalam membangun perpaduan umat sejagat, di samping menjadi sumber inspirasi serta pencetus kepada inovasi tamadun dan kesaksamaan peradaban.

Ini sesuai dengan cabaran zaman yang melangkaui bimbingan dan pendidikan kerohanian, di sebalik mematuhi perintah dan larangan-Nya demi membina kesejahteraan, perpaduan serta keharmonian kehidupan berbilang bangsa dan budaya.

Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah berkata demikian pada Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1442 Hijrah / 2021 Masihi di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini malam tadi.

Menurut Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah, penghayatan terhadap ajaran al-Quran yang diterapkan kepada kita sebagai pemakmur dan pentadbir alam yang bermula daripada alam kanak-kanak perlu dilihat dengan lebih objektif, ke arah melestarikan kaedah pengajaran dan menyebarluaskan ilmu-ilmu tafsir dan tadabbur al-Quran di seluruh peringkat masyarakat.

 “Melaluinya, murid-murid, para pelajar dan masyarakat, akan lebih mesra dengan al-Quran, serta memahami maksud dan menghargai nilai iktibar yang tersirat di dalamnya, selaras dengan hasrat kita untuk membangun Negara Zikir,” katanya.

Menurut Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah, ketika ini, dunia sedang berhadapan dengan cabaran penularan wabak koronavirus yang menjejaskan kehidupan normal seluruh manusia termasuk di Negara Brunei Darussalam (NBD).

“Walau bagaimanapun, alhamdulillah, kita sangat-sangat mengutamakan dan penuh percaya dengan amalan doa dan selawat, yang terkandung di dalam al-Quran dan as-Sunnah, selain ikhtiar dan usaha menolak jangkitan koronavirus berkenaan secara bersepadu, dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Sepertimana titah paduka ayahanda (Sultan Brunei) semasa perutusan Majlis Ilmu 2020 sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-74 tahun yang berbunyi : ”Adakah pada pendapat para ilmuwan antara sebabnya ialah kerana kita terus mematuhi piawaian standard antarabangsa, di samping secara konsisten menggunakan vaksin ketuhanan berupa ayat-ayat al-Quran dan doa-doa?” katanya.

Jelas sekali, menurut Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah, dengan penyerapan bacaan al-Quran, ‘zikrullah’, selawat secara berterusan di balai-balai ibadah, radio dan televisyen serta mengharapkan pertolongan sepenuhnya dari Allah Subhanahu Wata’ala, dengan izin-Nya jua, Brunei Darussalam dilindungi dan dijauhkan daripada penularan wabak koronavirus.

“Ini kerana, kita umat Islam penuh percaya bahawa Allah Subhanahu Wata’ala sahajalah maha berkuasa menyembuhkan semua penyakit,” katanya.

Menurut Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah kitab al-Quran adalah mukjizat teragung yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW yang umat Islam wajib berpegang teguh padanya serta dipelihara secara mutawatir atau bersambung dari satu generasi ke generasi sehingga ke hari ini.

Related posts

Leave a Comment