MUIS mula daftar korban di Australia

SINGAPURA 8 Jun – Pendaftaran ibadah korban tahun ini mula dibuka hari ini sehingga 13 Julai melalui 51 buah masjid yang disenaraikan.

Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), setiap daripada 51 masjid itu menawarkan 120 ekor kambing pada harga antara S$320 hingga S$370 seekor.

Pendaftaran bergantung kepada bekalan yang ada dan siapa dahulu didahulukan.

Ini adalah tahun kedua, ibadah korban diadakan di Australia berikutan, tiada ternakan akan diimport ke Singapura berikutan pandemik Covid-19.

Seperti tahun lalu, pihak masjid akan menguruskan pelaksanaan ibadah korban di Australia dengan daging korban ini dibekukan dan dihantar ke Singapura untuk diagihkan.

Tahun lalu, 42 masjid menawarkan khidmat korban bagi Hari Raya Aidiladha dengan setiap masjid mengendalikan tempahan sehingga 100 ekor kambing pada harga

seekor antara S$300 dengan S$330.

MUIS memberitahu masjid-masjid sedang bekerjasama dengan para pembekal yang mempunyai lesen Agensi Makanan Singapura (SFA) untuk mengimport produk-produk daging.

Orang ramai yang berminat boleh mendaftar di masjid yang tersenarai atau menghubungi pihak masjid untuk mendapatkan butiran lanjut. Senarai masjid juga boleh didapati di go.gov.sg/korban2021.

Related posts

Leave a Comment