Serang stesen nuklear satu sejarah

KYIV: “Tiada negara selain Rusia yang pernah menembak unit kuasa nuklear,” kata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dalam satu mesej video yang dikeluarkan oleh pejabatnya.

Beliau mendakwa Moscow menggunakan ‘keganasan nuklear’ dan mahu mengulangi bencana Chernobyl susulan serangan terbaharu ke atas loji kuasa nuklear negara itu.

“Ini adalah kali pertama dalam sejarah kita. Dalam sejarah manusia. Negara pengganas kini menggunakan keganasan nuklear,” katanya.

Sehubungan itu beliau merayu pemimpin dunia untuk bangkit dan menghalang Eropah daripada “nazak akibat bencana nuklear” selepas loji terbesar di benua itu terbakar akibat dibedil.

Stesen di Zaporizhzhia, sebuah bandar perindustrian di tenggara, membekalkan anggaran 40 peratus kuasa nuklear negara dan menurut Zelensky, menempatkan enam daripada 15 reaktor Ukraine.

Menurut Kyiv, kebakaran bermula selepas tentera Rusia melepaskan tembakan ke arah kemudahan itu.

Bagaimanapun peralatan “penting” di stesen itu tidak terjejas dan tahap radiasi adalah normal, pegawai tempatan memberitahu badan pemerhati atom PBB.

Kemudahan nuklear Ukraine menjadi titik kebimbangan utama selepas tentera Russia menyerang negara itu minggu lalu dan mula membedil bandar dengan peluru dan peluru berpandu.

“Jika berlaku letupan, ia adalah pengakhiran segala-galanya. Pengakhiran kepada Eropah. Hanya tindakan Eropah segera yang boleh menghentikan tentera Rusia,” katanya.

Related posts

Leave a Comment