Tahniah daripada Sultan Selangor

Foto FB istana Selangor

SHAH ALAM 7 Jun – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istana Alam Shah menerusi hantaran di laman Facebook ‘Selangor Royal Office’ semalam menyatakan baginda berdua turut mendoakan Al-Sultan Abdullah dilanjutkan usia, sihat wal afiat dan sentiasa berada dalam pemeliharaan Allah.

Baginda berdua juga berharap agar Al-Sultan Abdullah berterusan memerintah negara dengan adil dan bijaksana berdasarkan perlembagaan negara.

“Melihat kepada situasi semasa ketika ini, Paduka Kekanda juga berharap Seri Paduka Adinda sentiasa bersabar dalam menjalankan tugas yang diamanahkan, berlandaskan agama Islam seperti firman-firman Allah Subhanahu Wata’ala di dalam Al-Quran :-

“Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar. Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami.” ~ (Surah As-Sajdah : ayat 24)

“Maka bersabarlah kamu terhadap apa yang mereka katakan dan bertasbihlah sambil memuji Tuhanmu sebelum terbit matahari dan sebelum terbenam(nya)” ~ (Surah Qaaf : ayat 39)

“Semoga Seri Paduka Adinda terus bersemayam di atas singgahsana takhta kerajaan Malaysia dengan beroleh kemuliaan dan kesejahteraannya,” menurut hantaran itu.

Related posts

Leave a Comment