PRN tangguh, ADUN Sarawak kekal

PUTRAJAYA 6 Jun – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ditangguhkan kepada tarikh yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak dalam kenyataannya berkata, penangguhan itu dibuat selepas menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewangan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Mohamad Asfia Awang Nassar,

Penangguhan itu dibuat mengikut peruntukan Seksyen 13 dan Seksyen 15 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Menurut Ikmalrudin, di bawah Seksyen 15 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, bagi tempoh darurat berkuat kuasa, peruntukan untuk memanggil, memprorog dan membubarkan Dewan Undangan Negeri Sarawak tidak mempunyai kesan.

Manakala mengadakan PRN ketika tempoh darurat juga tidak mempunyai kesan mengikut Seksyen 13 ordinan yang sama.

Mohamad Asfia dalam kenyataannya memaklumkan bahawa tempoh DUN Sarawak yang matang hari ini dilanjutkan sehingga proklamasi darurat tamat pada 1 Ogos depan.

Susulan lanjutan itu, wakil rakyat akan kekal sebagai ahli seperti diperuntukkan Perkara 18(1) Perlembagaan Negeri Sarawak, bahawa seorang ahli dewan undangan negeri (ADUN) akan kekal sebagai ADUN sehinggalah DUN Sarawak dibubarkan.

Mengulas lanjut, kata Mohamad Asfia ia akan kekal sehingga terbubarnya DUN melalui pengisytiharan Yang di-Pertuan Agong di bawah Seksyen 15 atau selepas 1 Ogos 2021 iaitu tarikh tamatnya darurat tersebut.

Selepas tarikh itu, sekiranya perintah darurat tidak disambung, pilihan raya negeri perlu diadakan selaras dengan kehendak Perkara 21(4), Perlembagaan Negeri Sarawak dalam tempoh 60 hari dari tarikh tamatnya darurat pada 1 Ogos 2021.

Tempoh penggal lima tahun DUN Sarawak tamat hari ini namun pembubaran digantung susulan proklamasi darurat akibat pandemik Covid-19.

Related posts

Leave a Comment