Kongsi vaksin dengan negara membangun

DUA badan dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia mendesak Kumpulan Negara G7 untuk melepaskan lebihan vaksin Covid-19 ke negara-negara membangun secepat mungkin.

Pada masa sama, negara-negara G7 juga digesa supaya meminta pengeluar meningkatkan penghasilan vaksin Covid-19.

Perkara itu dinyatakan Pengarah Urusan IMF Kristalina Georgieva dan Presiden Bank Dunia David Malpass dalam kenyataan bersama kepada G7.

Di samping itu, dua badan dunia itu juga mahu kerajaan, syarikat farmaseutikal dan kumpulan terlibat dalam perolehan vaksin meningkatkan ketelusan mengenai kontrak, pembiayaan dan penghantaran.

“Mengedarkan vaksin dengan lebih meluas adalah keperluan ekonomi yang mendesak dan juga keperluan moral.

“Pandemik koronavirus tidak akan berakhir sehingga setiap orang memiliki akses terhadap vaksin termasuk mereka di negara membangun,” kata mereka.

Malpass dan Georgieva akan mengadakan pertemuan secara bersemuka pada Jumaat dan Sabtu bersama pegawai kewangan dari negara G7.

Negara G7 dianggotai Britain, Amerika Syarikat, Kanada, Jerman, Itali, Perancis dan Jepun.

Kedua-dua IMF dan Bank Dunia turut mengalu-alukan rancangan Amerika Syarikat mengedarkan 25 juta daripada 80 juta dos vaksin pertama yang dijanjikan Washington untuk dikongsi secara global pada akhir bulan ini.

Bank Dunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) minggu ini mengesahkan rancangan ASD50 bilion IMF untuk mengakhiri pandemik dengan memperluaskan akses kepada vaksin.

Malpass dan Georgieva mengatakan, vaksin harus diedarkan secepat mungkin dengan cara yang telus kepada negara-negara membangun yang memiliki rancangan pengagihan yang baik.

Related posts

Leave a Comment