55 kes baharu, 71 sembuh

Hari pertama bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini, 4 Mei, kes baharu positif Covid-19  turun semula kepada dua angka dengan mencatatkan 55 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes setakat ini ialah 6,353 kes.

Tiada kematian dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes sembuh pula ialah 71 kes melebihi jumlah kes baharu, menjadikan jumlah kumulatif sembuh sebanyak 4,484 kes iaitu 70.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Daripada 55 kes baharu, tujuh adalah kes import manakala kes penularan tempatan adalah 48 kes, iaitu 24 kes dikesan dari kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,764 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Dr Noor Hisham berkata seramai 28 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), 13 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham juga menyeru pengusaha dan majikan menitikberatkan ‘S.O.P’.

‘S’ merujuk kepada syarat-syarat yang ditetapkan, ‘O’ pula merupakan orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi serta individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan manakala ‘P’ adalah penjarakan sosial yang perlu diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya satu meter.

Beliau juga berharap orang ramai mendaftarkan maklumat berhubung ahli keluarga yang tidak mempunyai telefon pintar ke dalam aplikasi MySejahtera yang akan membantu menilai tahap kesihatan ahli keluarga atau individu lain yang didaftarkan.

MySejahtera merupakan aplikasi telefon bimbit yang dibangunkan kerajaan dengan kerjasama pelbagai agensi bertujuan membantu pengawasan penularan wabak Covid-19 dalam negara dengan memperkasakan rakyat agar prihatin terhadap kesihatan kendiri dan keadaan semasa Covid-19 di Malaysia.

Antara fungsi aplikasi MySejahtera adalah sebagai pengesan hotspot ataupun ‘Hotspot Tracker’ iaitu pengguna boleh mendapatkan maklumat kawasan hotspot kes Covid-19 dalam lingkungan satu kilometer dari lokasi pengguna atau alamat carian.

Ia juga memberi maklumat berkaitan fasiliti saringan Covid-19 yang terdekat dan bantuan khidmat nasihat secara dalam talian.

Related posts

Leave a Comment