Penjawat awam sumbang RM30 juta

PUTRAJAYA 1 Jun – Selepas anggota Kabinet menyumbangkan tiga bulan gaji kepada Akaun Amanah Bencana bagi membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19,

lebih 800,000 penjawat awam turut berbuat demikian melalui pengurangan elaun berdasarkan gred perkhidmatan.

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali yang mengumumkan perkara berkenaan hari ini berkata sumbangan daripada penjawat awam terbabit yang tidak melibatkan petugas barisan hadapan serta penjawat awam Gred 1 hingga Gred 28 itu, dianggarkan berjumlah lebih RM30 juta.

“Sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) bagi pengurusan tertinggi dan Gred 44 hingga Gred 56, serta Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga Gred 41 yang dinikmati oleh penjawat awam pada masa kini akan disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana,” katanya.

Penetapan sumbangan berdasarkan gred perkhidmatan itu adalah 50 peratus bagi Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) A ke atas, JUSA B sebanyak 20 peratus, JUSA C sebanyak 10 peratus, Gred 44 hingga 56 sebanyak lima peratus melibatkan ITK, manakala RM10 daripada ITKA bagi Gred 29 hingga 41.

Beliau berkata surat edaran dan perincian pelaksanaan itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat. 

“Sumbangan ini adalah tanda kebersamaan para penjawat awam dalam menyokong usaha kerajaan bagi memerangi dan melandaikan keluk jangkitan pandemik Covid-19 di negara kita.

Semoga pengorbanan ini menjadi asbab kebaikan dalam kehidupan bagi setiap anggota perkhidmatan awam dan ahli keluarga kita,” katanya.

Related posts

Leave a Comment