MALAYSIA TOTAL LOCKDOWN

PUTRAJAYA 28 Mei – Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19 akhirnya memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi  (total lockdown) fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun 2021.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri lewat petang ini, sepanjang tempoh itu, semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan Covid-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian telah melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes.

“Setakat hari ini, seramai 2,552 orang telah meninggal dunia akibat wabak ini dan jumlah kematian semakin meningkat. Kewujudan varian-varian baharu yang lebih ganas dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dan pantas juga turut mempengaruhi keputusan hari ini,” kata kenyataan itu..

Sekiranya lockdown fasa pertama berjaya mengurangkan kes-kes harian Covid-19, Kerajaan akan melaksanakan lockdown fasa kedua, iaitu dengan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan yang besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal.

Lockdown Fasa Kedua ini akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas Fasa Pertama berakhir.

“Setelah berakhirnya lockdown fasa kedua, langkah seterusnya diikuti fasa ketiga, iaitu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan seperti yang berkuat kuasa pada masa ini di mana aktiviti sosial tidak dibenarkan dan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tertakluk kepada SOP yang ketat serta kehadiran secara fizikal di tempat kerja yang dihadkan,” kata kenyataan itu.

Kementerian Kewangan akan memperincikan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan susulan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial, Pengumuman mengenai pakej bantuan ini akan dibuat dalam masa terdekat.

Related posts

Leave a Comment