Tiada ‘baby boom’ musim PKP

PUTRAJAYA 27 Mei – Lelaki mengatasi wanita dan tiada kelahiran besar-besaran susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan penularan pandemik Covid-19.

Itu rumusan laporan Perangkaan Demografi bagi suku pertama 2021, yang dikeluarkan hari ini.

Menurut Ketua Perangkawan Dr Mohd Uzir Mahidin, jumlah penduduk Malaysia dianggarkan seramai 32.75 juta pada suku pertama 2021, meningkat 0.4 peratus daripada 32.62 juta bagi tempoh sama setahun lalu.

Beliau berkata berdasarkan laporan Perangkaan Demografi bagi suku pertama 2021, jumlah itu merangkumi 29.91 juta atau 91.3 peratus warganegara dan baki 2.84 juta orang atau 8.7 peratus lagi merupakan bukan warganegara.

Dalam kenyataannya, beliau berkata, penduduk lelaki kini mengatasi wanita, masing-masing berjumlah 16.83 juta dan 15.92 juta.

Mohd Uzir berkata komposisi penduduk berusia 65 tahun dan ke atas meningkat daripada 2.26 juta orang kepada 2.37 juta bagi tempoh sama.

Trend ini menurut beliau seiring dengan negara-negara membangun lain yang menuju ke arah populasi menua.

Bagi tempoh itu juga, populasi berusia 0 hingga 14 tahun menyusut kepada 7.56 juta berbanding 7.61 juta pada suku pertama 2020.

Beliau juga memberitahu, pada suku pertama tahun ini, jumlah kelahiran hidup yang dicatatkan menurun 10.8 peratus kepada 102,969 kelahiran berbanding 115,439 kelahiran setahun lalu.

“Tidak ada ‘baby boom’ (kelahiran besar-besaran) pada suku pertama 2021 seperti yang dijangkakan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan disebabkan penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Bagi suku pertama tahun ini juga, sebanyak 43,545 kematian dicatatkan, peningkatan sebanyak 0.7 peratus berbanding 43,226 kematian yang dilaporkan pada tempoh sama tahun lepas.

 

Related posts

Leave a Comment