Kematian tertinggi di Thailand

BANGKOK 27 Mei – Thailand merekodkan kematian harian tertinggi akibat Covid-19  dengan 47 lagi pesakit meninggal dunia menjadikan jumlah keseluruhan 920 sejak pandemik itu bermula Januari tahun lalu.

Sebelum ini kes kematian tertinggi adalah 41 yang direkodkan semalam manakala kes jangkitan pula meningkat kepada 141,217 kes termasuk 3,323 yang direkodkan hari ini iaitu 3,302 kes jangkitan tempatan termasuk 1,219 melibatkan kes dinpenjara dan 21 kes import.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), kematian baharu itu melibatkan 26 lelaki dan 21 wanita berusia antara 26 dan 87 tahun yang melibatkan 26 orang di Bangkok, empat di Nonthaburi dan tiga di Chiang Mai.

Turut mencatatkan kematian adalah di Yala, Ayutthaya, Mukdahan, Phetchaburi, Ratchaburi, Khon Kaen, Si Sa Ket, Chon Buri, Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Tak, Amnat Charoen, Nan dan Songkhla.

Bangkok kekal sebagai kawasan yang merekodkan kes tertinggi (lihat senarai) dengan merekodkan 894 kes termasuk 210 kes di daerah Klong Toey dan 49 kes di daerah Samphanthawong.

Setakat semalam, 46,469 pesakit Covid-19 masih menerima rawatan di hospital  termasuk 1,201 dalam keadaan serius dan 399 bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, sehingga kini, lebih 3.20 juta orang telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin Covid-19 di negara ini.

Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha dalam satu kenyataan berkata vaksin Covid-19 adalah agenda nasional dan beliau telah mengarahkan agensi yang berkaitan untuk mempercepat vaksinasi dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.

Ia merangkumi kakitangan perubatan dan kesihatan awam, sukarelawan, orang tua dan mereka yang menghidap tujuh penyakit tidak berjangkit.

Setakat 25 Mei, Thailand berada di kedudukan ke-5 di antara negara-negara ASEAN dari segi jumlah kumulatif vaksinasi Covid-19.

Thailand menetapkan sasaran untuk menjadi yang kedua di rantau ini melalui vaksinasi menyeluruh, sekitar enam hingga lapan juta dos pada akhir Jun.

Setakat ini, sejumlah 7.9 juta orang telah mendaftar untuk vaksinasi.

Related posts

Leave a Comment