Proses sijil halal kini 15 hari

KUANTAN 19 Okt. – Tempoh memproses pensijilan halal dipendekkan kepada 15 hari bekerja berbanding 23 hari sebelum ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata penambahbaikan itu bertujuan merancakkan industri halal negara berikutan sebelum ini, tempoh permohonan sijil halal mengambil masa agak lama hingga sembilan bulan.

“Ketika ini, tempoh memendekkan proses sijil halal daripada 23 hari kepada 15 hari dalam tempoh percubaan dan sedang berjalan. Dulu sembilan bulan, kita kurangkan kepada enam bulan dan tiga bulan. Daripada tiga bulan, saya minta kepada 23 hari dan ia sudah tercapai.

Kini, proses akan dipendekkan kepada 15 hari dan setakat ini kami berpuas hati dengan apa yang sedang berjalan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Halal On Track (HOT) @ Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini.

Terdahulu, dalam ucapan, Ahmad Zahid berkata, di peringkat domestik, data menunjukkan peningkatan dalam permohonan sijil halal setiap tahun.

Katanya, tahun lalu, sebanyak 15,605 permohonan diterima iaitu meningkat daripada 14,977 permohonan pada 2022.

“Sehingga September lalu, sebanyak 14,707 permohonan diterima dan saya percaya angka ini akan mencecah lebih 16,000 permohonan dengan usaha yang dilakukan seperti pelaksanaan HOT ini.

“Dalam usaha memacu industri halal negara, kita perlu mendengar semua maklum balas dan menambah baik proses pensijilan,” katanya.

Beliau berkata, melalui bengkel halal, beberapa inisiatif utama telah dicadangkan untuk mempercepat proses kelulusan dan mengurangkan kadar kegagalan permohonan.

Katanya, antaranya memastikan pemilik industri, pengurusan tertinggi, penyelia dan eksekutif halal menerima latihan menyeluruh mengenai keperluan pensijilan.

“Apabila maklumat dan pengisian data dalam sistem MYeHalal mematuhi syarat dan keperluan pensijilan, ia akan mengurangkan kekeliruan yang sering menjadi halangan dalam mendapatkan kelulusan.

“Saya percaya pemain industri perlu dibimbing dengan maklumat yang tepat dan berlandaskan undang-undang yang jelas. Hanya dengan ini, proses pensijilan halal dapat dipermudah dan risiko kegagalan dapat diminimumkan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment