Boleh beli vaksin tetapi bersyarat

KUALA LUMPUR 23 Mei –  Tiada halangan jika ada pihak di negara ini yang mahu membeli sendiri vaksin Covid-19 tetapi pihak itu mesti mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Katalah sesetengah agensi misalnya Petronas dan sebagainya (hendak membeli) kita tak boleh halang. Syaratnya ia mesti diuji selamat (oleh NPRA) dan kenalah ada lesen.. tak boleh curi-curi, seludup bawa masuk,” katanya.

“Dia (proses vaksin di fasiliti swasta) tak kena caj pasal ia tanggungan kerajaan. Kita minta mungkin hospital itu boleh caj RM14 (dibiayai Kerajaan) sekali jab macam tu dan vaksin tu percuma,” katanya sambil melahirkan keyakinan sasaran untuk mencapai imuniti kelompok di negara ini akan dapat dicapai sebelum akhir tahun ini.

Beliau dimaklumkan bekalan vaksin sudah mula sampai bahkan akan sampai lebih awal daripada jadual malah diberi jaminan sebelum akhir tahun ini akan dapat semua bekalan.

“Maknanya kita boleh dapat capai herd imunnity atau 80 peratus suntikan vaksin (untuk penduduk Malaysia) sebelum akhir tahun ini,” katanya dalam Bicara Khas Cabaran Pandemik Covid-19 eksklusif bersama Perdana Menteri yang disiarkan di RTM dan Bernama TV malam ini.

Bagi melancarkan proses vaksinasi, Perdana Menteri berkata lebih 600 pusat pemberian vaksin (PPV) disediakan setakat ini dengan PPV mega di Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang boleh memuatkan 8,000 orang.

Katanya kerajaan juga menyasarkan seramai 150,000 orang mampu divaksin setiap hari tidak lama lagi dengan kemudahan PPV yang ada.

Perdana Menteri juga berkata Malaysia akan mengikut panduan yang ditetapkan oleh pengeluar vaksin berhubung tempoh selang masa antara suntikan pertama dan kedua vaksin Covid-19 dalam proses pemberian vaksin itu kepada rakyat.

Related posts

Leave a Comment