Kanak-kanak, pelajar positif

SINGAPURA 22 Mei – Kanak-kanak serta pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi adalah antara 30 kes baharu yang dikesan dalam masyarakat semalam sementara 10 lagi kes import melibatkan rakyat dan penduduk tetap Singapura.

Menurut Kementerian Kesihatan, sebanyak 22 daripadanya berkait jangkitan sebelum ini (kluster) manakala lapan tidak ada kaitan dengan mana-mana kes.

Kes yang melibatkan pelajar termasuklah mahasiswa dari Universiti Nasional Singapura (NUS) yang tiada kaitan dengan kes-kes sebelum ini.

Remaja berusia 20 tahun itu yang juga pekerja sambilan mengalami sakit tekak, selesema dan batuk pada 13 Mei tetapi tidak berjumpa doktor.

Pada 19 Mei, beliau menjalani ujian swab dan didapati positif pada 21 Mei.

Dua lagi pelajar yang juga positif Covid-19 adalah budak lelaki Singapura berusia 11 tahun dari Sekolah Anglo-Chinese (Junior) dan seorang lagi pelajar Myanmar juga 11 tahun dari Sekolah Rendah Bukit View.

Seorang lagi kanak-kanak lelaki Singapura berusia setahun yang merupakan murid di Pusat Skool4kidz Punggol Way dan Pusat Intervensi Awal AWWA @ Fernvale.

Turut positif, seorang warga Malaysia berusia 27 tahun yang bekerja sebagai pekerja penghantaran bagi IVIC Logistic dan McDonald’s (Kelab Masyarakat Pasir Ris Elias). Beliau adalah kontak serumah dengan kes sebelum ini.

Sementara itu beberapa kluster turut menambah kes termasuk empat lagi kes kluster Terminal 3 Lapangan Terbang Changi di mana, tiga daripadanya adalah anggota keluarga atau kontak serumah kes sebelum ini.

Satu lagi kes,  seorang pekerja bank berusia 57 tahun, yang sudah menerima kedua-dua dos vaksin,  mengalami selesema pada 15 Mei tetapi tidak berjumpa doktor.

Disebabkan dia mengunjungi Terminal 3 Lapangan Terbang Changi pada 2 Mei, beliau menjalani ujian pada 19 Mei yang ditawarkan kepada pengunjung dan keputusannya positif.

Kluster Penjara Changi pula, merekodkan dua lagi kes.

Kes import pula melibatkan warga Singapura, penduduk tetap dan pemegang permit kerja yang tiba dari India, Indonesia, Amerika Syarikat dan Filipina.

Setakat semalam, Singapura mencatat 61,770 kes Covid-19 dan 32 kes kematian. 

Related posts

Leave a Comment