Kanada lanjut larangan penerbangan

OTTAWA: Kanada melanjutkan larangan ke atas penerbangan penumpang dari India dan Pakistan untuk 30 hari hingga 21 Jun sebagai sebahagian daripada usaha memerangi Covid-19, kata Menteri Pengangkutan Omar Alghabra.

Beliau berkata,  Kanada telah menyaksikan “pengurangan yang besar” dalam jangkitan koronavirus dalam kalangan penumpang syarikat penerbangan yang tiba sejak Ottawa pertama kali mengumumkan larangan tersebut pada 22 April.

Langkah itu bagaimanapun tidak menjejas penerbangan kargo.

Ketika kadar vaksinasi meningkat di seluruh Kanada, jumlah kes baru harian telah merosot 25 peratus sejak minggu lalu dan sekarang dicatat pada purata sekitar 5,000, kata timbalan ketua pegawai kesihatan awam Howard Njoo semasa taklimat itu.

Kanada setakat ini mencatatkan 25,111 kematian akibat Covid-19 dan lebih daripada 1.3 juta kes secara keseluruhan.

Larangan ke atas penerbangan India dan Pakistan adalah sebahagian daripada sekatan-sekatan yang dikenakan oleh Kanada untuk mengurangkan penularan virus, termasuk sekatan perjalanan tidak penting merentasi sempadan darat dengan Amerika Syarikat.

Kanada pada Khamis menyatakan bahawa langkah itu, yang pertama kali dikuatkuasakan pada Mac 2020, akan dilanjutkan sebulan lagi hingga 21 Jun.

Related posts

Leave a Comment