WHO minta Israel henti serangan

KAHERAH: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa Israel menghentikan serangannya ke atas Gaza bagi memberi laluan kepada usaha-usaha bantuan kemanusiaan ketika sistem kesihatan di Palestin berdepan masalah kekurangan bekalan yang serius.

Pengarah Serantau WHO, Ahmed Al-Mandhari berkata, penutupan laluan keluar masuk kepada para pesakit dan pasukan kesihatan kemanusiaan serta sekatan yang dikenakan ke atas proses masuk bekalan ubat-ubatan memburukkan lagi krisis kesihatan ini

“Kecederaan-kecederaan yang teruk membebankan sistem kesihatan yang sememangnya sedang dicengkam masalah kekurangan bekalan dan ubat-ubatan penting selain perlu menangani pandemik Covid-19.”, katanya pada satu sidang media.

Sementara itu, satu perutusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membawa masuk bantuan kemanusiaan, termasuk 10,000 vaksin Covid-19 Sinopharm ke Gaza dan untuk membawa keluar orang-orang yang cedera sudah bersiap sedia untuk masuk sebaik sahaja ia mendapat akses.

Ketua WHO bagi Tebing Barat dan Gaza, Rik Peeperkorn berkata, sehingga

genjatan senjata dipersetujui, semua pihak mesti bersetuju berhenti seketika (serangan) untuk memastikan akses keluar masuk bantuan kemanusiaan di Gaza.

Sejak pergolakan itu bermula pada 10 Mei, para pegawai kesihatan di Gaza menyatakan 230 warga Palestin, termasuk 65 kanak-kanak dan 39 wanita terbunuh dan lebih 1,700 orang cedera akibat serangan-serangan udara.

Related posts

Leave a Comment