Johor hadkan 50 jemaah di masjid

JOHOR BAHRU 21 Mei – Johor membenarkan hanya 50 jemaah menunaikan solat Jumaat serta solat fardu di masjid dan surau Jumaat manakala 20 jemaah sahaja bagi surau dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini.

Arahan itu turut terpakai bagi aktiviti pengimarahan masjid dan surau sehingga 7 Jun ini atau satu tarikh yang akan dimaklumkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor. 

Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi, Mufti Johor Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Md Rofiki Samsudin semalam.

Jumlah tersebut termasuk pegawai, ahli jawatankuasa masjid atau surau bagaimanapun pengurusan masjid dan surau boleh menyediakan ruang solat musafir dengan syarat mesti menyediakan petugas yang memantau jemaah musafir mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Selain itu, pihak pengurusan perlu memastikan bahawa masjid dan surau Jumaat dibersihkan selepas solat Jumaat termasuk alat pembesar suara imam dan bilal.

Menurut kenyataan itu, sekiranya terdapat arahan penutupan masjid dan surau disebabkan kes Covid-19, jemaah hendaklah mendirikan solat fardu di rumah masing-masing dan menggantikan solat Jumaat dengan solat zohor.

Sementara itu, bagi aktiviti pengimarahan masjid dan surau yang dibenarkan adalah majlis membudayakan al-Quran, bacaan Yasin, tahlil dan wirid dengan syarat membawa al-Quran, surah Yasin dan kitab sendiri serta tiada penglibatan jemaah atau jemputan dari pihak luar.

Bagi kelas Takmir, kelas al-Quran, kuliah umum dan khas secara fizikal ditangguhkan tetapi  kelas pengajian secara dalam talian adalah digalakkan supaya program pengimarahan masjid dan dakwah dapat diteruskan.

Bilal masjid dan surau Jumaat hendaklah membaca teks SOP yang telah disediakan oleh JAINJ sebelum imam naik di atas mimbar hari Jumaat. 

Related posts

Leave a Comment