SINGAPURA 19 Mei – Kementerian Kesihatan (MoH) menolak dakwaan wujudnya varian Covid-19 Singapura seperti yang dilaporkan oleh media India.
Dakwaan ‘tidak bebar’ itu dikemukakan dalam beberapa rencana yang diterbitkan Hindustan Times dan NDTV – kedua-duanya media tempatan India.
Rencana berkaitan merujuk catatan Twitter Ketua Menteri Delhi, Arvind Kejriwal, yang dipercayai mendakwa bahawa terdapat varian baharu yang “sangat berbahaya bagi kanak-kanak” dan ia boleh menyebabkan gelombang ketiga penularan virus berkenaan di India.
MoH menegaskan bahawa sememangnya “tidak ada ‘varian Singapura'”.
Jenis virus yang dilaporkan bagi kebanyakan kes Covid-19 sepanjang beberapa minggu lalu adalah varian B16172, yang dikesan di India.
Ujian filogenetik menunjukkan bahawa varian B16172 ini dikaitkan dengan beberapa kelompok di Singapura.
Dua jenis virus yang berkaitan dengan varian dari India dikesan dalam kalangan kes-kes import dan jangkitan dalam masyarakat di Singapura, termasuk kes-kes yang berhubung kait dengan kelompok Tan Tock Seng dan Lapangan Terbang Changi.
Dalam laporan-laporan media India, Kejriwal juga dikatakan sebagai menggesa pemerintah pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi supaya segera membatalkan khidmat udara dengan Singapura dan mengutamakan vaksinasi bagi kanak-kanak.
India melaporkan lebih 25 juta kes Covid-19 dan 278,719 kematian setakat Selasa.
Singapura sudah menghentikan kemasukan para pemegang pas jangka panjang dan pemegang pas jangka pendek dengan sejarah perjalanan dari India sejak 24 April.
