Tawaran vaksin Pulau Pinang ‘scam’

PUTRAJAYA 19 Mei – Tawaran sumbangan dua juta dos vaksin Covid-19 Sinovac kepada kerajaan Pulau Pinang merupakan satu penipuan, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

“This is a scam. This is bogus,” tegas Khairy dalam satu sidang media hari ini.

Khairy mengulas mengenai kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang memohon Kerajaan Persekutuan meluluskan sumbangan vaksin tersebut dari sebuah syarikat swasta untuk kegunaan rakyat negeri itu.

Surat tawaran kepada Ketua Menteri itu dikirimkan oleh individu bernama Yong Chee Kong dari Kota Kinabalu, Sabah yang mendakwa sebagai Pengarah Urusan di Syarikat Xintai Development Enterprise Ltd yang berpangkalan di Hong Kong.

Selepas melakukan semakan dengan Syarikat Sinovac Biotech Ltd., Khairy bagaimanapun mendapati bahawa urusan pembelian vaksin antara individu bernama Yong Chee Kong dan syarikat Sinovac tidak pernah berlaku.

“Selepas membuat pengesahan bersama pihak Sinovac di China, saya nak mengumumkan bahawa tiada apa-apa bukti atau dokumen mahupun permohonan telah diterima daripada mana-mana wakil syarikat tersebut berhubung sumbangan yang dimaksudkan.

“Saya telah melaksanakan semakan ke atas Syarikat Xintai Development Enterrise Ltd. dan semalam kami mendapati bahawa syarikat ini tidak wujud.” Katanya.

Malah, surat tawaran bagi menyumbang 2 juta dos vaksin Covid-19 turut pernah dibuat oleh individu yang sama pada 9 Februari lalu dan semakan  ketika itu juga mendapati sumbangan vaksin berkenaan adalah berdasarkan surat palsu.

Sehubungan itu, beliau akan meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 untuk membuat laporan polis bagi mengetahui identiti individu bernama Yong Chee Kong itu.

Dalam masa yang sama, Khairy turut mengingatkan Chow Kon Yeow dan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng supaya tidak mempolitikkan vaksin serta melakukan semakan mendalam dan secara teliti sebelum membuat dakwaan berhubung vaksin.

“Saya telah memaklumkan kepada Lim Guan Eng dan Chow Kon Yeow pagi tadi supaya tidak mempolitikkan Program Imunisasi Covid-19 kebangsaan. Ini adalah penipuan,” tegas Khairy.

Menurut Ahli Parlimen Rembau itu, beliau terbuka untuk dibuktikan salah dan menerima sumbangan vaksin sekiranya tawaran tersebut didapati sahih.

Khairy turut menjelaskan bahawa tiada urusan pembelian direkodkan daripada Yayasan Sekhar, sebuah pertubuhan yang dikaitkan dengan seorang ahli peniagaan tempatan ternama yang menuduh kerajaan telah menolak permohonan mereka untuk memberikan 200,000 dos vaksin secara percuma.

Related posts

Leave a Comment